GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sambutan menggalakkan apabila seramai 33,358 warga Selangor sudah mendaftar di aplikasi SELangkah untuk mendapatkan dos penggalak percuma menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Booster sehingga 13 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,000 individu sudah mendapat suntikan dos penggalak masing-masing sehingga 15 Disember.

"Bagi menjamin warga Selangor mendapat akses kepada perlindungan optimum terhadap virus Covid-19, kerajaan negeri menawarkan dos penggalak secara percuma menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Booster.

"Sehingga 13 Disember lalu, seramai 33,358 warga Selangor sudah mendaftar di aplikasi SELangkah bagi program ini menggambarkan sambutan yang sangat menggalakkan.

"Seramai 5,000 individu sudah menerima dos penggalak setakat 16 Disember menandakan semangat tekad Selangor serta rakyatnya menghalang wabak Covid-19 dalam mengancam kesejahteraan negeri ini," katanya menerusi perkongsian di Facebook tadi.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Selangor menyediakan 157,000 dos penggalak secara percuma di bawah SelVAX menerusi Program SelVAX Booster.

Amirudin berkata, penduduk di Selangor berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak jenis Sinovac di klinik Selcare berhampiran.

Menurutnya, senarai klinik Selcare bagi program ini boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah malah orang ramai juga digalakkan mendaftar terlebih dahulu di laman sesawang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 4:20 PM