Nurul Hidayah Bahaudin


PENGHUNI di bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India, di sini, menerima banyak sumbangan makanan sejak kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 14 April lalu.

Penghuni Selangor Mansion, Tajudin Farook, 50, berkata, penduduk menerima sumbangan roti canai untuk sarapan dan nasi putih bersama lauk ayam masak kicap bagi makan tengah hari.

“Semalam, ada orang memberi sumbangan nasi goreng ayam. Selalunya penduduk menerima sumbangan makanan tiga sekali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan malam.

“Makanan itu hasil sumbangan pihak berkuasa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang tinggal berhampiran.

“Kami amat berterima kasih dan bersyukur atas sumbangan diberikan. Setakat ini, segala keperluan terutama makanan adalah mencukupi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tajudin yang juga warga India berkata, beberapa penghuni termasuk dirinya masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 yang dibuat beberapa hari lalu.

“Kami menunggu keputusan itu dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil mengikut saranan pihak berkuasa.

“Ada beberapa penghuni disahkan positif Covid-19 pula sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dan dikuarantinkan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India berikutan peningkatan jumlah positif Covid-19 di lokasi berkenaan.

Tinjauan di lokasi sekitar Masjid India dan hadapan Menara City One mendapati beberapa kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba kira-kira jam 5 petang tadi dipercayai untuk melakukan proses sanitasi di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 7:40 PM