PENGHANTAR bekalan makanan untuk penghuni dikawal oleh anggota Polis Diraja Malaysia sekitar kawasan Selangor Mansion dan Malayan Mansion berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan berkenaan. FOTO Aizuddin Saad

Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan membekalkan makanan setiap hari kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya memastikan penghuni dibekalkan makanan tengah hari dan makan malam sepanjang 14 hari PKPD yang bermula 7 April lalu.

Beliau dalam ciapan akaun Twitternya hari ini berkata, makanan berkenaan ditaja ‘rakyat Malaysia yang cakna dan prihatin’.

“Kita akan bekalkan makanan tengah hari dan malam sepanjang 14 hari ‘lock down’ di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya dikritik hampir setiap hari namun kritikan itu dianggap sebagai pencetus untuk melakukan tugas dengan lebih baik.

“Harap bersabar. Insya-Allah tugas-tugas berat ini diringankan dan dipermudahkan oleh-Nya...bersabar ya.

“Insya-Allah tiada siapa yang ditinggalkan walaupun warga asing,” katanya.

Berkuatkuasa serta-merta 7 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kawasan itu menjalani perintah PKPD selepas 15 individu di situ dikesan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:33 PM