AHMAD (bertopi) menyerahkan sumbangan makanan dan buah-buahan kepada petugas di PPV Dewan Seri Umbai. FOTO Amir Mamat
AHMAD (bertopi) menyerahkan sumbangan makanan dan buah-buahan kepada petugas di PPV Dewan Seri Umbai. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Jasin: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membantu petani menangani lambakan sayur serta buah-buahan yang berlaku di beberapa ladang termasuk yang terbaru membabitkan timun di Pasir Mas, Kelantan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ini kerana Fama sudah dipertanggungjawabkan untuk membantu memasarkan hasil pertanian yang tidak terjual bagi mengelakkan petani mengalami kerugian.

Katanya, agensi berkenaan sentiasa peka dengan masalah petani yang berhadapan dengan kesukaran memasarkan hasil berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

"Fama adalah satu agensi pemasaran pertanian untuk membantu petani memasarkan produk mereka dan agensi itu sentiasa membantu jika mereka menghadapi masalah," katanya selepas menyampaikan sumbangan makanan dan buah-buahan kepada petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Umbai, Serkam di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan kepada Ketua PPV terbabit, Dr Muhammad Hafiszi Omar sempena Program MAFI Prihatin itu dikendalikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Mengulas mengenai lambakan timun di Pasir Mas, kelmarin, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, situasi itu berlaku kerana pemborong tidak dapat mengambil bekalan kerana sedang menjalani kuarantin kendiri akibat Covid-19.

Berikutan itu, katanya, Fama Kelantan bertindak segera mengambil semua hasil pertanian berkenaan untuk dipasarkan.

Media kelmarin melaporkan, pengusaha timun buntu selepas terpaksa membuang 1.5 tan hasil tanamannya setiap hari susulan berlaku lambakan dan tiada permintaan sayur berkenaan di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:49 PM