Muhaimin mengadakan tinjauan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan Kelompok Sayur Paya Tok Akil. FOTO  Ihsan Facebook Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
Muhaimin mengadakan tinjauan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan Kelompok Sayur Paya Tok Akil. FOTO Ihsan Facebook Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


JABATAN Pertanian Pulau Pinang menasihatkan petani sayur dan buah-buahan di negeri itu supaya meneruskan jadual penanaman mereka bagi memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi.

Pengarahnya Mohd Muhaimin Ibrahim berkata, pihaknya sedar terdapat petani terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan hasil tanaman mereka tidak dapat dijual sepenuhnya.

Menurutnya, petani tidak perlu bimbang kerana Lembaga Pemasaran Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membantu mereka yang berdepan masalah lambakan hasil sepanjang tempoh PKP.

“Kita sedar apabila semua pergerakan terhad maka petani sukar untuk menjual hasil pertanian mereka apatah lagi pasar pagi, pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.

“Namun, mereka tidak perlu bimbang kerana FAMA bersetuju membantu untuk memasarkan produk pertanian bagi mengelak berlaku lambakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, Mohd Muhaimin meninjau Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan Kelompok Sayur Paya Tol Akil, Seberang Perai Utara bagi membincangkan isu lambakan hasil pertanian berkenaan.

Katanya, ketika penularan wabak Covid-19, sayur dan buah-buahan penting kepada masyarakat bagi memastikan mereka mendapatkan khasiat yang baik untuk meningkatkan sistem ketahanan badan.

“Justeru, pihak jabatan menasihatkan petani supaya tidak menghentikan aktiviti penanaman sebaliknya menanam seperti biasa kerana tidak mahu bekalan terputus dan tidak mencukupi.

“Kita akan terus memberi galakan dan sokongan kepada petani termasuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 4:57 PM