Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BURUH binaan didenda RM4,600 di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tiga kesalahan berbeza berkaitan menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan perkataan jelik terhadap polis pada 12 April lalu.

Tertuduh, Ong Woi Hong, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghalang penjawat awam yang juga pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagai pegawai kanan polis pada 10.45 pagi 12 April lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM10,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan jelik kepada pegawai sama dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1990 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM100.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta pegawai polis yang menjalankan tugas pemeriksaan terhadapnya.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 atau keduanya sekali.

Semua kesalahan berkenaan dilakukan ketika sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Syed Alwi pada 10.45 pagi 12 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Husna Muhamad Jamil.

Nurul Husna dalam pembelaannya, meminta Kamaliza agar memberikan hukuman minimum ke atas tertuduh memandangkan dia sudah mengakui kesalahannya selain hanya bekerja sebagai buruh.

Kamaliza kemudiannya menetapkan tertuduh dikenakan denda RM3,000 bagi kesalahan pertama, denda RM100 bagi kesalahan kedua dan denda RM1,500 bagi kesalahan ketiga.

Sekiranya tertuduh gagal membayarnya, dia akan dipenjarakan selama enam bulan bagi kesalahan pertama dan penjara lima bulan bagi kesalahan ketiga.

ONG didenda RM4,600 di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tiga kesalahan berbeza berkaitan menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan perkataan jelik terhadap pegawai polis. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
ONG didenda RM4,600 di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tiga kesalahan berbeza berkaitan menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan perkataan jelik terhadap pegawai polis. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 11:26 AM