Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini terhadap lima pertuduhan mencederakan anggota polis, memiliki dadah, bahan psikotropik dan senjata, 11 Julai lalu.

Tertuduh, Zaidi Baharom, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan Majistret Kamaliza Md Zain.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan iaitu menghalang tugas anggota polis daripada menahan kereta dipandunya di Jalan Felda Mata Ayer, Padang Besar pada 12.53 tengah hari, 11 Julai 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membawa dan memiliki bahan psikotropik seberat 570 kilogram yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala pertuduhan ketiga, memiliki dadah Methamphetamine seberat 0.88 gram yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan keempat, dia didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1947.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12.20 hingga 12.53 tengah hari, 11 Julai 2020.

Kamaliza membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,500 dan menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes menghalang tugas penjawat awam, manakala 5 Oktober bagi pertuduhan memiliki dadah, bahan psikotropik dan mencederakan polis.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Zaidi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membawa parang di dalam kenderaan dipandu pada masa dan tarikh sama, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ainul Shahrin menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes dan dia dibenar ikat jamin RM5,000.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Poh Yi Tying dan Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Ahmad serta Herdawati Harun.

Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis pengiring Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri, cedera selepas dilanggar pacuan empat roda yang dipandu tertuduh di Felda Mata Ayer, Padang Besar pada 11 Julai lalu

Ketika kejadian, anggota polis berkenaan mengiringi Nancy sempena lawatan kerja ke Perlis.

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kangar, hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kangar, hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:03 PM