Aizat Sharif


Kangar: Seorang kerani syarikat jualan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki video, gambar dan bahan lucah dalam telefon bimbitnya pada Mac tahun lalu.

Tertuduh, Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, dari Arau hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail lucah berformat PDF dalam telefon bimbit di sebuah taman perumahan dekat Kampung Utan Kandis, Arau, sekitar 11.30 pagi pada 31 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fazil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Asyraf dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan denda ringan kepadanya kerana dia sudah bertaubat dan menyesali perbuatannya itu.

Selain itu, tertuduh mengatakan dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan serta mendapat pekerjaan dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan.

ASYRAF Hafizuddin (kanan) berbincang sesuatu dengan pegawai SKMM sebelum memasuki kamar Mahkamah Majistret Kangar, hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
ASYRAF Hafizuddin (kanan) berbincang sesuatu dengan pegawai SKMM sebelum memasuki kamar Mahkamah Majistret Kangar, hari ini. FOTO AIZAT SHARIF

Malah, Asyraf berkata, dia kini tinggal bersama mentuanya yang mengalami masalah kesihatan serta perlu penjagaan rapi.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap Asyraf sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Kamaliza kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 terhadap tertuduh, selain 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan dan Asyraf kemudian membayar denda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:40 AM