PENGHUNI dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India dikumpulkan untuk menjalani saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
PENGHUNI dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India dikumpulkan untuk menjalani saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


RATUSAN individu warga tempatan dan warga asing yang bekerja serta tinggal di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mula menjalani saringan wabak Covid-19, hari ini.

Mereka termasuk pekerja pasar raya berhampiran, pekerja premis perniagaan dan penghuni kediaman di kawasan itu menjalani proses saringan secara berperingkat bermula 1 tengahari.

Difahamkan, ujian saringan itu dilakukan berikutan ramai warga asing tinggal berhampiran bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Tinjauan mendapati mereka melakukan saringan di khemah yang disediakan berhampiran dua bangunan berkenaan.

Sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) mula menyaring semua individu berkenaan.

Terdahulu, difahamkan seramai 48 penduduk di kedua-dua flat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Masjid India itu disyaki positif COVID-19.

Setakat ini, kesemua mereka dilaporkan sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan.

Sumber berkata, seramai 43 individu membabitkan penduduk Selangor Mansion manakala selebihnya dari Malayan Mansion.

“Jumlah (positif Covid-19) ini berkemungkinan akan meningkat selepas keputusan saringan kesemua penduduk di dua flat berkenaan diperoleh,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 2:16 PM