Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan proses sanitasi dan saringan Covid-19 terhadap penghuni flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Masjid India.

Tinjauan mendapati, kira-kira 50 petugas KKM lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) mengambil sampel penghuni bermula pagi tadi.

Rata-rata penghuni memberikan kerjasama baik terhadap petugas selain akur kediaman mereka duduki kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kedua-dua bangunan itu.

Beberapa kenalan penghuni bangunan berkenaan yang ingin menghantar bekalan makanan tidak dibenarkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa dan dibenarkan hanya pada waktu tertentu sahaja.

Kawasan berhampiran juga dilihat tiada individu yang berada di kawasan berhampiran kerana dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Rela.

Sementara itu, tinjauan di Menara City One pula mendapati petugas KKM menjalankan saringan dari rumah ke rumah bagi mengambil sampel penghuni bermula sejak jam 10 pagi tadi.

Saringan dijalankan didapati berakhir jam 3 petang tadi dengan sejumlah kotak dibawa keluar oleh petugas dipercayai mengandungi sampel penghuni.

PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 kepada penduduk bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Asyraf Hamzah
PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan Covid-19 kepada penduduk bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion. FOTO Asyraf Hamzah

Dalam perkembangan sama, sebuah khemah disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi kemudahan petugas media di hadapan Menara City One.

Difahamkan khemah terbabit didirikan oleh petugas KKMM bagi memberi keselesaan petugas media dalam membuat liputan terkini berkenaan PKPD.

Selain khemah, meja dan kerusi juga disediakan hidangan makan tengah hari dan sarung tangan getah.

Pada 31 Mac lalu, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur yang berkuat kuasa sehingga 13 April ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 5:30 PM