KAKITANGAN GiatMara Pulau Pinang menghasilkan Peralatan perlindungan diri (PPE) bagi disumbangkan kepada di Hospital Balik Pulau, dekat sini, bagi kegunaan petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan GIATMARA
KAKITANGAN GiatMara Pulau Pinang menghasilkan Peralatan perlindungan diri (PPE) bagi disumbangkan kepada di Hospital Balik Pulau, dekat sini, bagi kegunaan petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan GIATMARA
Zuhainy Zulkiffli


PUSAT GiatMara Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan menggunakan peralatan menjahit dan kemahiran dimiliki bagi menyumbang sebanyak 488 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Balik Pulau.

Usaha berkenaan dilakukan enam kakitangan Pusat GiatMara Balik Pulau serta dibantu pengajar dari Pusat GiatMara Tanjung dan Pusat GiatMara Bukit Gelugor.

Pengarah Pusat GiatMara Pulau Pinang Harun Radzi berkata, projek itu dijalankan selama sembilan hari sejak 31 Mac hingga 8 April lalu bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya, ini kerana kakitangan pusat berkenaan mempunyai kemahiran menjahit dan peralatan mencukupi lalu mereka bersepakat melakukan projek berkenaan secara sukarela.

“GiatMara negeri ini mempunyai enam pusat latihan menawarkan kursus jahitan dan berikutan peralatannya sudah tersedia, kami rasa terpanggil bagi membantu menghasilkan PPE sebanyak yang termampu.

“Kami bercadang mahu melanjutkan projek ini dengan membabitkan lapan lagi kakitangan dari Pusat GiatMara di Kepala Batas dan Nibong Tebal pula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penyerahan PPE berkenaan dilakukan oleh Ketua Projek, Mohamed Najib Ghani kepada Pengarah Hospital Balik Pulau Dr Jeremy Rodney Davis, semalam.

Harun berkata, pihaknya juga berharap lebih banyak institusi atau pusat berkemahiran seumpamanya tampil membantu mengatasi kekurangan PPE dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Katanya, pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang menjalankan projek itu.

“Pada masa ini, pelatih GiatMara melakukan sendiri kerja khusus di rumah sebagai alternatif dan kesinambungan pendidikan amali mereka.

“Kaedah itu juga menjimatkan masa latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang penting ialah tidak perlu keluar rumah bagi melakukan tugasan serta simulasi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 1:49 PM