ZURAINI (kiri) bersama melihat PPE yang siap dijahit Noraini Yaacob. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ZURAINI (kiri) bersama melihat PPE yang siap dijahit Noraini Yaacob. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


DALAM tempoh dua hari, 1,600 pakaian perlindungan diri (PPE) berjaya disiapkan enam tukang jahit di Kuala Kedah dan akan disumbangkan kepada petugas hospital dan klinik kesihatan.

Selain mereka, 12 lagi tukang jahit dari Jitra, Pokok Sena dan Alor Setar turut melakukan projek semua.

Semua mereka sukarela melakukan aktiviti itu dan menerima material lebih 2,000 meter sumbangan Cancer Survivor Malaysia (CSM).

Penaung CSM Zuraini Kamal berkata, PPE yang siap akan diagihkan ke dua hospital dan tiga klinik kesihatan di Kedah.

“Kita menerima sumbangan ahli terdiri daripada pejuang dan bekas pesakit kanser untuk digunakan membeli kain berkualiti di Sungai Petani, Kuala Lumpur dan Kulim.

“Kami sangat berbesar hati dapat membantu petugas barisan hadapan terutama doktor dan jururawat yang sebelum ini turut membantu pesakit kanser selurun negara.

“Inilah masa kami membalas budi mereka dengan menyumbang PPE ini,” katanya ketika ditemui di Kulim.

Zuraini berkata, PPE yang siap akan diagihkan di Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala selebihnya akan dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Klinik Kesihatan Tunjang dan Klinik Kesihatan Simpang Kuala.

Menurutnya, selain PPE, pertubuhan itu turut menyediakan makanan buat petugas barisan hadapan serta menyumbang penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

Sementara itu, tukang jahit di Kuala Kedah, Noraini Yaacob, 43, berkata, kerja amal itu dilakukan selepas banyak kelas jahitan terbatal susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada duduk saja lebih baik kami membantu menghasilkan PPE untuk membantu barisan hadapan yang menggunakan kain hasil sumbangan dari CSM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 11:05 AM