GOLONGAN profesional perubatan bersama pelajar universiti di Kota Bharu berganding bahu menyiapkan lebih 10,000 pelindung muka dan 500 pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din, berkata, seramai 21 sukarelawan termasuk pekerja bidang kesihatan yang juga ahli PAPISMA, terbabit menyediakan alatan itu untuk keselamatan petugas di hospital dan klinik.

Katanya, graduan perubatan seperti dari Universiti Al Azhar, Universiti Mansoura, Mesir dan juga lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga memberi khidmat tenaga serta kemahiran dalam menyiapkan segala barangan keperluan itu.

“Misi bantuan Covid-19 ini, bermula pada 17 Mac lalu selepas melihat situasi semasa yang mana memerlukan satu gerakan bagi memastikan peralatan keselamatan tersedia untuk petugas barisan hadapan.

“Pada awalnya, kami menghasilkan lebih hand sanitizer memandangkan ahli terdiri daripada saintis dan pensyarah bidang perubatan yang berpengalaman mencipta cecair pembasmi kuman menggunakan bahan seperti alkohol dan air suling mengikut kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Alhamdulillah, kami kemudian menerima sumbangan daripada orang ramai yang turut sama membantu dan hasil bantuan itu membolehkan kami membeli barangan untuk menghasilkan pelindung muka secara sendiri (DIY),” katanya ketika ditemui di pusat PAPISMA di Kampung Chicha, di Kota Bharu, semalam.

Setakat hari ini, selain pelindung muka serta PPE, PAPISMA sudah mengedarkan lebih 2,000 topeng muka, 584 penutup kepala, 736 penutup kasut dan 18,237 sumbangan makanan hasil bantuan orang ramai kepada petugas yang memerlukan.

Dr Tengku Ahmad Damitri, berkata, mereka kemudian menghasilkan PPE dengan bantuan tukang jahit luar di sekitar Kota Bharu.

“Permintaan PPE ini sangat tinggi sehingga kami perlu mengagihkan dengan jumlah yang terhad bukan sahaja ke seluruh klinik dan hospital di Kelantan tetapi juga beberapa negeri lain seperti Selangor, Terengganu dan Johor.

“Kami berharap sumbangan terus diberikan supaya PAPISMA dapat menghasilkan lebih banyak peralatan keselamatan kepada semua petugas barisan hadapan secara berterusan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua graduan yang sudi bersama PAPISMA membantu wira-wira negara yang juga petugas di hospital atau klinik seluruh negara yang berkorban membanteras Covid-19,” katanya.

PENGERUSI Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din, (kanan) bersama beberapa sukarelawan lain menyiapkan PPE untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Syaherah Mustafa
PENGERUSI Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din, (kanan) bersama beberapa sukarelawan lain menyiapkan PPE untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. FOTO Syaherah Mustafa

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 10:35 AM