DATUK Richard Wee Liang Chiat (dua dari kiri) menyerahkan PPE kepada Tiong Ling Hii di BBP Padungan, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Richard Wee Liang Chiat (dua dari kiri) menyerahkan PPE kepada Tiong Ling Hii di BBP Padungan, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memerlukan lebih banyak peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk anggotanya yang bertugas di barisan hadapan.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, ia berikutan ramai anggotanya terbabit dalam program sanitasi awam.

Beliau berkata, sejak 30 Mac lalu, pihaknya sudah melaksanakan hampir 60 program sanitasi awam dan kini masih banyak permintaan daripada agensi kerajaan lain untuk melaksanakan nyah cemar di kawasan pejabat masing-masing.

“Terbaru kami mendapat permintaan daripada Jabatan Penjara Malaysia yang memohon bantuan melaksanakan operasi nyah cemar di semua penjara.

“Terdapat enam penjara di seluruh negeri ini iaitu di Puncak Borneo, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.

Justeru katanya, JBPM memerlukan lebih banyak PPE untuk menjamin keselamatan semua anggotanya yang terbabit dalam operasi nyah cemar itu.

Ling Hii berkata, selain penjara ketika ini pihaknya turut menerima banyak lagi permintaan daripada orang awam khususnya pemilik pasar raya yang memohon bantuan nyah cemar di premis mereka.

“Semalam, kami menerima permintaan pertama untuk operasi nyah cemar di Bintulu apabila sebuah pasar raya besar memohon khidmat itu.

“Ia berikutan kebimbangan orang ramai selepas tular di media sosial yang mendakwa seorang yang disahkan positif Covid-19 pernah mengunjungi pasar raya besar berkenaan,” katanya.

Terdahulu Ling Hii menerima sumbangan PPE daripada Persekutuan Persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian (KSSFCA) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, di sini.

Sumbangan topeng mulut dan hidung, sarung tangan, sarung kepala, baju hujan serta air mineral itu diserahkan oleh Presiden KSSFCA), Datuk Richard Wee Liang Chiat untuk diagihkan kepada anggota yang terbabit dalam operasi nyah cemar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 1:51 PM