DATUK Seri Fatimah Abdullah menerangkan SOP pembukaan TASKA kepada pemilik TASKA, Ng Lee Boon (tengah) dan Ain Nureen Mohd Morshidi, di Wisma Kebajikan, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Seri Fatimah Abdullah menerangkan SOP pembukaan TASKA kepada pemilik TASKA, Ng Lee Boon (tengah) dan Ain Nureen Mohd Morshidi, di Wisma Kebajikan, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengerah sepenuhnya keupayaan bagi membersihkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negeri berkenaan.

Ia berikutan kebenaran diberikan untuk semua Taska di Sarawak beroperasi semula, Selasa ini.

Penolong Pengarah Operasi JPBM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, berikutan situasi pandemik Covid-19 yang semakin pulih, JBPM Sarawak menubuhkan pasukan khas khusus bagi melaksanakan program sanitasi di Taska serta Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di negeri berkenaan.

Menurutnya, tumpuan utama pihaknya di kawasan Kuching dan Kota Samarahan yang sebelum ini dikategorikan sebagai zon merah.

"JBPM Sarawak berjaya melaksanakan program sanitasi sepenuhnya di semua Taska dan Tadika di dua lokasi itu dalam tempoh dua minggu.

"Ia membabitkan sebanyak 468 buah Taska dan Tadika di Kuching serta 124 di Kota Samarahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ling Hii berkata, secara keseluruhannya, program sanitasi itu sudah dilaksanakan di 857 Taska dan Tadika di seluruh Sarawak.

Taska dan Tadika di daerah lain yang turut menjalani proses nyah cemar ialah Miri (62), Bintulu (29), Asajaya (31), Simunjan (13), Serian (9), Kanowit (5), Mukah (3), Kapit (3), Limbang (2), Sibu (2) manakala Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan masing-masing satu.

Khamis lalu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah mengumumkan Taska di Sarawak dibenarkan dibuka semula mulai Selasa ini dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 1:51 PM