FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Khidir Zakaria


TIGA termasuk seorang remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini atas pertuduhan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengakuan itu dibuat ketiga-tiga tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh pertama, G Khishen Kumar, 19, yang bekerja sebagai kelindan lori dan rakannya berusia 16 tahun yang tidak lagi bersekolah didakwa ingkar arahan PKP apabila ditahan ketika menaiki motosikal di Kilometer 11 Jalan Lukut-Sepang.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 9.10 malam 1 April lalu, tertuduh enggan berhenti dan terus memecut motosikalnya bagi melarikan diri dan dikejar lebih kurang 1,000 meter sebelum ditahan polis di kawasan perindustrian D’Ambang Kota.

Khishen mengaku bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau tiga bulan penjara manakala tertuduh kedua berusia 16 tahun itu mengaku bersalah dan sedang menunggu laporan akhlak yang akan dikeluarkan pada 19 Mei nanti.

Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) PPN 1990 (gagal menunjukkan kad pengenalan), kedua-dua tertuduh mengaku salah dan tarikh jatuh hukum ditetapkan pada 19 Mei depan.

Tertuduh pertama dikenakan jaminan mahkamah sebanyak RM1,000 manakala tertuduh kedua sebanyak RM800.

Sementara itu, seorang buruh pasang khemah, T Paandi Baskaran, 24, turut mengaku bersalah selepas di didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tertuduh ditangkap pada 8.25 malam pada 31 Mac lalu di simpang ladang di Taman PD Utama kerana berkumpul bersama rakannya yang sempat melarikan diri bersama dua motosikal.

Paandi mengaku salah dan dikenakan penjara tujuh hari dari tarikh tangkap dan denda RM900 atau 20 hari penjara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:55 PM