Sri Ayu Kartika Amri


SERAMAI 4,374 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 56 negara seluruh dunia dan paling ramai ialah di India membabitkan 2,156 orang.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, setakat 31 Mac 2020, seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara sudah berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Katanya, kejayaan itu melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik seperti Malaysian Indian Congress (MIC) dan pihak swasta seperti T7 Global Berhad dan Weststar Aviation Services.

“Saya juga ingin memaklumkan khabar gembira berkenaan 144 warganegara Malaysia telah tiba pada petang tadi, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH 741.

“Meskipun kerajaan Myanmar secara amnya membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial ke negara terbabit berkuat kuasa 30 Mac 2020, Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines telah berkolaborasi dengan kerajaan Myanmar memberi kebenaran khas penerbangan pesawat dari Malaysia ini.

“Kedutaan kita di Yangon akan terus komited dan bekerja keras bagi memastikan kebenaran khas yang sama dapat diberikan pada masa akan datang bagi memastikan warganegara Malaysia di Myanmar dapat pulang ke Malaysia dengan segera,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan terkini berkaitan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran pembatalan dan sekatan penerbangan oleh beberapa negara berikutan penularan Covid-19.

Katanya, seramai 179 rakyat Malaysia yang terkandas di Amritsar, India juga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 10.50 malam.

Beliau berkata, jumlah mereka yang terkandas di India dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas.

Selain itu, negara lain yang turut merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas yang agak tinggi ialah Indonesia (680 orang), Australia (226 orang), New Zealand (153 orang), Thailand (337 orang), Arab Saudi (121 orang), Pakistan (128 orang), Filipina (54 orang), Sri Lanka (50 orang), Emiriah Arab Bersatu (43 orang).

“Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara yang sememangnya berhasrat untuk pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum syarikat penerbangan menggantung operasi mereka atau penggantungan penerbangan dikuatkuasakan kerajaan di sana,” katanya.

Datuk Kamarudin Jaffar.
Datuk Kamarudin Jaffar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:21 PM