ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan operasi nyah cemar di Bank RHB Satok dan bangunan Satok. FOTO NADIM BOKHARI
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan operasi nyah cemar di Bank RHB Satok dan bangunan Satok. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meneruskan program sanitasi awam bagi menyekat rantaian penularan wabak Covid-19 di kawasan yang disahkan positif.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, operasi di kawasan positif itu bagaimanapun dijalankan secara tertutup dengan jumlah anggota yang sedikit.

“Operasi nyah cemar di kawasan berisiko tinggi itu dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya tanpa mendedahkan kawasan positif itu.

Beliau yang ditemui ketika mengetuai program sanitasi awam di kawasan Satok, hari ini berkata bagi kawasan tumpuan ramai, operasi dijalankan berdasarkan senarai yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi melaksanakan operasi sanitiasi awam, semua tujuh zon JBPM Sarawak dengan 32 balai bomba yang ada di seluruh negeri sudah dikerah untuk melaksanakannya di kawasan masing-masing.

“Program itu turut kami laksanakan di Sri Aman walaupun kawasan itu belum mencatatkan kes Covid-19.

“Ia dilakukan berikutan ada permintaan agar tempat awam di Sri Aman perlu nyah cemar sebagai langkah pencegahan awal untuk mengekang penularan wabak,” katanya.

Mengenai program sanitasi awam yang dijalankan di Kuching hari ini, Khirudin berkata, pihaknya melaksanakan operasi di dua lokasi iaitu di Satok yang mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Satu lagi operasi dilaksanakan di Hui Sing Garden yang mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:47 PM