TINDAKAN pemotongan bekalan elektrik dilakukan terhadap premis yang menjalankan aktiviti judi dalam talian sekitar Kuala Muda dalam Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik Terhadap Premis Perjudian Fasa 3. FOTO Ihsan PDRM
TINDAKAN pemotongan bekalan elektrik dilakukan terhadap premis yang menjalankan aktiviti judi dalam talian sekitar Kuala Muda dalam Operasi Pemotongan Bekalan Elektrik Terhadap Premis Perjudian Fasa 3. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


SEBANYAK 10 premis termasuk sebuah restoran di Sungai Petani dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik hari ini, selepas didapati menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, operasi dua jam yang bermula 10 pagi itu mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, lokasi pemotongan bekalan elektrik membabitkan premis di kawasan Taman Sejati Indah, Taman Penaga, Taman Keladi dan Taman Sri Wang.

Katanya, operasi diketuai Pemangku Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Superintendan, Khairul Faiz Rosli.

“Tindakan ini diambil di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya ia tidak kembali beroperasi.

“Kesemua premis sudah diambil tindakan dalam serbuan yang dijalankan sebelum ini yang mana siasatan sudah dijalankan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, sebanyak 30 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik sejak Januari hingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 4:40 PM