DIGI Telecommunications Sdn. Bhd di Subang Hi-Tech Industrial Park, Shah Alam. FOTO NSTP
DIGI Telecommunications Sdn. Bhd di Subang Hi-Tech Industrial Park, Shah Alam. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


DIGI Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menawarkan beberapa insentif kepada orang ramai bagi memudahkan perhubungan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Digi menerusi kenyataannya hari ini berkata, antara insentif itu termasuk penawaran akses tanpa had, menawarkan liputan rangkaian tambahan di lokasi kritikal dan menyebarkan maklumat penting mengenai wabak itu kepada orang ramai.

“Digi yang tersenarai antara syarikat telekomunikasi yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP menggerakkan pasukan untuk bekerja sepanjang masa bagi memastikan tahap perkhidmatan dan rangkaian terjamin.

“Keutamaan Digi adalah mengekalkan kualiti rangkaian di tahap tinggi untuk memastikan talian boleh diakses semua terutama di kawasan kediaman, pusat data dan perkhidmatan pelanggan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Menurutnya, Digi juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menawarkan liputan serta rangkaian tambahan kepada pihak barisan hadapan Covid-19 iaitu hospital, pusat pemindahan, pejabat kerajaan dan pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, Digi bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyebarkan pengumuman kesihatan, kecemasan dan awam mengenai Covid-19 menerusi SMS setiap hari kepada pelanggan.

“Bagi memastikan pelanggan terus mendapat akses perkhidmatan, saluran perkhidmatan dalam talian termasuk MyDigi, Digi Online Store, talian khidmat pelanggan dan platform media sosial tersedia 24 jam.

“Mulai hari ini sehingga 31 Mac, pelanggan Broadband Digi Prabayar dan Prabayar akan menikmati Internet serta panggilan tambahan dengan setiap tambah nilai RM10 ke atas.

“Pelanggan Broadband Digi Postpaid dan Postpaid akan menikmati tambahan 1GB setiap hari untuk digunakan antara jam 8 pagi hingga 6 petang yang boleh ditebus melalui aplikasi MyDigi,” katanya.

Menurutnya, pelanggan Digi Business juga boleh menikmati tambahan data 2GB percuma setiap bulan, ditambah kepada kuota data sedia ada mereka mulai minggu hadapan.

Katanya, Digi akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk segera melaksanakan langkah-langkah baru yang diperlukan demi kepentingan pelanggan, perniagaan dan negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 3:40 PM