DR Zulkifli mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikannya menyertai kabinet semalam. FOTO Bernama
DR Zulkifli mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikannya menyertai kabinet semalam. FOTO Bernama
Siti Rohana Idris


PELANTIKAN bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama disifatkan sesuatu yang neutral dan tidak menimbulkan kontroversi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau menganggap tokoh itu sebagai istimewa kerana ketika jawatannya sebagai mufti, beliau sangat disenangi pelbagai golongan.

Mohd Amar juga menangkis pandangan sinis yang timbul berikutan seorang tokoh agama yang terjun ke bidang politik kerana belum pernah terjadi dalam sejarah pelantikan Menteri sebelum ini.

“Kenapa? Adakah mufti tidak boleh berpolitik? Saya rasa beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti politik sebab sesiapa sekalipun boleh (jadi menteri), tiada parti sekalipun tiada masalah.

“Yang perlu dilihat sama ada beliau wakil rakyat atau senator dan saya rasa mufti, imejnya lebih baik berbanding (Menteri) dulu, itu nombor satu.

“Kalau letak orang parti, mungkin ada kontroversi sama ada PAS atau Umno tetapi diletakkan yang neutral (Zulkifli). Ia memberi satu imej yang positif,” katanya kepada pemberita di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, imej Zulkifli sangat disenangi semua pihak bukan saja dalam kalangan agamawan tetapi juga golongan artis dan selebriti.

Katanya, keistimewaan dimiliki Zulkifli diharapkan dapat menarik semua golongan untuk memahami Islam.

“Imej (bekas) mufti Wilayah (Persekutuan) ini disenangi semua pihak sebab kita perhatikan, bukan orang agama saja tapi orang bukan agama pun boleh menghormati beliau termasuk artis, ini satu keistimewaan. Harap beliau dapat tarik semua golongan untuk memahami Islam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 4:37 PM