(DARI KIRI) Ahmad Masrizal Muhammad, Mah Hang Soon, Tengku Zafrul, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara. FOTO BERNAMA
(DARI KIRI) Ahmad Masrizal Muhammad, Mah Hang Soon, Tengku Zafrul, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

MUFTI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mendahului senarai enam individu yang mengangkat sumpah sebagai Senator semalam, bersyukur atas pelantikan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan dan berharap negara akan terus aman dan makmur.

Zulkifli yang akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan tugas yang digalas sebagai amanah dan tanggungjawab berat yang harus dilaksanakan dengan baik.

“Kita mengharapkan doa rakyat untuk membina negara yang aman dengan keharmonian sentiasa berada pada tahap tinggi, disulami sifat saling toleransi dan hormat-menghormati.

“Insya-Allah badai politik yang berdasarkan sentimen semata-mata dapat dibanteras,” katanya.

Turut mengangkat sumpah jawatan senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.

Selain itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I); Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa); Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) turut mengangkat sumpah pada majlis yang diadakan di bangunan Parlimen.

Sementara itu, Zafrul menyatakan komitmen untuk menangani cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

Justeru, beliau akan mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir petang ini (semalam) di Putrajaya, bagi memperoleh gambaran lebih baik dan perincian mengenai situasi ekonomi Malaysia.

“Saya berpandangan, apa yang kita perlu kini adalah menumpukan cabaran semasa sedia ada dari segi ekonomi,” katanya.

Teknokrat terkemuka itu berkata, beliau sebenarnya terkejut, namun rendah hati atas pelantikan itu.

Beliau akan melakukan yang terbaik untuk membantu negara mengharungi tempoh sukar ini.

Wan Ahmad Fayhsal pula mahu meneruskan legasi pemimpin terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandangkan beberapa inisiatif yang digerakkan sebelum ini memberi impak yang positif kepada generasi muda.

Jelasnya, mesyuarat bagi membincangkan hala tuju kementerian itu akan diadakan esok (hari ini) bersama menteri baharunya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Keutamaan saya adalah untuk menyokong ‘menteri saya’ dan juga meneruskan tugas-tugas cemerlang yang yang dilaksanakan menteri sebelum ini. Ada banyak perkara baik yang boleh kita teruskan seperti projek Reben Kuning dan sekolah pemimpin masa depan.

“Tentu, kita perlu berbincang dengan menteri terlebih dulu (mengenai rancangan masa depan), ia menjadi perkara pertama yang dilakukan esok sebaik saja memasuki pejabat,” katanya.

Ahmad Masrizal pula melihat tanggungjawab yang digalasnya dalam Kementerian Alam Sekitar sebagai komitmen besar kerajaan untuk membangunkan negara, bukan saja dari segi pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan yang lestari.

Senada dengan beliau, Mah pula berazam untuk menggembeleng tenaga bagi menjayakan misi dan visi bagi Kementerian Pendidikan.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:50 AM