MOHD Amar (tengah) di Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Amar (tengah) di Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

PELANTIKAN Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bukan laluan mudah untuk Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) dibentangkan di parlimen.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk mereka meletakkan harapan sedemikian dan pada masa sekarang, kerajaan perlu menyelesaikan perkara asas terlebih dahulu.

“Kita (memang) haraplah, cuma masih di peringkat awal dan hari ini baru nak angkat sumpah. Masa pun bukan panjang dan kita sendiri ada cabaran besar selepas ini iaitu pada 18 Mei (sidang Dewan Rakyat), mungkin ada undi tak percaya di parlimen.

“Dalam masa dua bulan ini tidak boleh harapkan sesuatu benda yang besar, kita selesaikan apa yang asas dahulu, selebihnya mungkin boleh bincang selepas ini,” katanya kepada pemberita di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di Kota Bharu, hari ini.

Berhubung pembentukan jemaah Kabinet baharu, Mohd Amar berkata, secara peribadi beliau berpuas hari dengan pelantikan semua menteri yang bertepatan dengan syarat bebas rasuah dan mempunyai integriti.

Menurutnya, pemilihan itu juga selaras dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini ada menyebut supaya Kabinet baharu dilantik dalam kalangan mereka yang tiada isu integriti.

“Pandangan itu juga menepati hasrat Perdana Menteri sendiri dan Alhamdulillah, walau seseorang itu belum dibuktikan bersalah, tapi ada isu dalam peribadi, baik kita ‘clearkan’ dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada pemimpin PAS bersedia untuk mengisytiharkan harta masing-masing, Mohd Amar berkata, sekiranya itu adalah satu peraturan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian.

Secara berseloroh, beliau memberitahu tiada apa yang ingin diisytiharkan kerana pemimpin PAS tidak mempunyai wang yang banyak.

“Tak ada masalah, kalau benda jadi peraturan, kita ikutlah. Tetapi, orang PAS ni, duitnya tak banyak, apa yang nak diisytiharkan, gaji mungkin bertambah tapi hartanya tiada,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu |

  • Barisan Kabinet baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 5:17 PM