Keadaan jeti Kampung Juara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Keadaan jeti Kampung Juara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PULAU Tioman terkenal dengan keindahan pantainya dan menjadi tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara namun keadaan jeti berusia 17 tahun di Kampung Juara dekat sini yang semakin uzur mencacatkan pemandangan.

Jeti sepanjang 180 meter itu menjadi nadi industri pelancongan di situ kini mengalami kerosakan teruk pada bahagian atap dan pagar disebabkan faktor semula jadi alam sekitar.

Ketua Kampung Juara, Ab Razib Ali Awang berkata, hampir keseluruhan atap sepanjang laluan jeti musnah kerana reput dan ditiup angin kencang terutama setiap kali musim tengkujuh.

Menurutnya, banyak tiang pagar simen sepanjang laluan rosak dan tercabut disebabkan besinya berkarat dan reput secara berperingkat hingga membahayakan pengguna.

“Sebelum ini terdapat beberapa kes penduduk dan pelancong terjatuh ketika melalui jeti disebabkan ketiadaan pagar di kiri dan kanan jeti.

“Jeti yang usang dan tidak selamat menjejaskan imej industri pelancong bukan sahaja Kampung Juara tetapi lebih penting sekali ialah nama Pulau Tioman yang terkenal seluruh dunia,” katanya.

Oleh itu, dia memohon kepada pihak bertanggungjawab supaya mengambik tindakan segera membaiki kerosakan bagi keselesaan 500 penduduk setempat termasuk pelancong yang berkunjung ke Kampung Juara,” katanya.

“Kampung Juara adalah antara destinasi utama pelancong yang datang ke Pulau Tioman. Setiap tahun lebih 120,000 berkunjung kampung dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 jumlah pelancong tempatan dan asing yang datang dijangka bertambah dua hingga tiga kali ganda.

“Sebelum ini difahamkan peruntukan sebanyak RM20 juta sudah disediakan kerajaan pusat untuk membaiki jeti namun hingga kini impian berkenaan masih tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 4:57 PM