JETI Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit perlu dinaik taraf kerana semakin uzur serta tidak mampu menampung pertambahan jumlah bot nelayan. FOTO Alias Abd Rani
JETI Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit perlu dinaik taraf kerana semakin uzur serta tidak mampu menampung pertambahan jumlah bot nelayan. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Bot semakin bertambah, tetapi jeti masih di takuk lama. Itu masalah dilalui hampir 50 nelayan pantai di Kampung Sungai Bagan Laut, dekat Rengit yang berkongsi ruang untuk melabuhkan bot masing-masing.

Jeti di Sungai Bagan Laut yang berusia lebih 40 tahun bukan sahaja semakin padat, malah keadaan tiang semakin uzur dengan sebahagian besi berkarat manakala konkrit pecah.

Situasi ini menambahkan kesukaran nelayan untuk turun ke pantai kerana perlu berhimpit, malah tidak kurang yang membuat sambungan menggunakan duit poket sendiri.

Nelayan, Md Nor Salleh Sello, 50, antara yang terkesan dengan keadaan jeti ketika ini hingga berlabuh dalam keadaan berhimpit sesama mereka.

Menurutnya, jeti itu dipindahkan ke kawasan itu hasil usaha ketua kampung sebelum ini bagi memudahkan nelayan melabuhkan bot fiber yang semakin bertambah.

"Jeti ini mula-mula tidaklah sebesar mana, namun dengan pertambahan nelayan di kawasan ini, ia diperbesarkan sedikit demi sedikit sehingga keadaan seperti hari ini.

"Namun, ia hanya bersifat sementara kerana ruang melabuhkan bot semakin sempit, perlu diperbesarkan segera. Perkara ini berlarutan lama dan diajukan kepada pihak berkenaan supaya mereka mengambil tindakan segera.

"Kalau dilihat situasi sekarang, jeti ini kurang selamat kerana bahagian bawah uzur. Besi berkarat dan tiang konkrit pecah, kalau dibiar terlalu lama, ia boleh runtuh bila-bila masa," katanya.

Menurutnya, keadaan jeti ketika ini memerlukan penambahan ruang secepat mungkin kerana masih ada bot penduduk tidak dapat diturunkan kerana ruang terhad.

Katanya, dia mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyambung jeti menggunakan kayu kerana ruang sedia ada tidak mencukupi.

"Setahu saya, masih ada tiga hingga empat bot di rumah penduduk belum dapat dikeluarkan," katanya yang menjadi nelayan sejak 30 tahun lalu.

Seorang lagi nelayan, Ahmadiah Tami, 60, berkata perahu yang masuk ke jeti ini selepas menangkap hasil laut mesti mencari ruang sesuai.

"Bot semakin banyak, kalau ada antara mereka terpaksa menyelit mana-mana ruang kosong. Saiz setiap bot besar (panjang enam kaki), ruang sedia ada amat terhad.

"Ada pemilik bot berlabuh di bahagian hujung jika ruang hadapan penuh. Ada yang 'terlepas' ke jeti paling jauh yang diperbuat daripada kayu jika semua bot berlabuh.

"Ketika ini, kita nak tambah jeti baru, soal kerosakan di bawahnya tidak termasuk dalam spesifikasi. Kalau ada pun, kena cari peruntukan lain untuk membaik pulih," katanya.

Katanya, beberapa tiang konkrit yang dijadikan tempat mengangkut hasil laut juga tumbang disebabkan besi berkarat, baru-baru ini.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 8:02 AM