Obor-obor Portuguese Man O' War yang ditemui. FOTO MELVIN JONI
Obor-obor Portuguese Man O' War yang ditemui. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


AKTIVITI di Pantai Abang Amin, Sematan, Lundu di sini, dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan susulan penemuan obor-obor berbahaya Portuguese Man O’ War.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, obor-obor itu mula dikesan pada 23 Februari lalu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sematan.

“Sehubungan itu APM dan ketua kampung sekitar mengeluarkan amaran supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah di tepi pantai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, penganjuran Pesta Sematan yang dijadual pada Jun depan juga mungkin terjejas sekiranya obor-obor berkenaan masih ada di kawasan pantai.

Pesta Sematan mungkin hanya boleh dijalankan tanpa membabitkan acara pantai atau laut bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Laut juga diarahkan membuat pemantauan dan mengesahkan tahap keselamatan yang ada di laut berhampiran kawasan pantai berkenaan.

Pantai Abang Amin adalah kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:12 PM