Ahmad Rabiul Zulkifli


ORANG ramai dinasihat tidak mandi di Pantai Pulau Kekabu, Marang buat sementara waktu berikutan kemunculan obor-obor jenis Portuguese Man O’ War.

Obor-obor beracun itu yang biasa menghuni Lautan Atlantik, Lautan Hindi serta Lautan Pasifik, dipercayai hanyut ke perairan Terengganu dengan 11 ekor ditemui terdampar di Pantai Pulau Kekabu semalam.

Bagaimanapun tinjauan Harian Metro bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, hari ini tidak menemui bangkai obor-obor baharu.

Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, dia bersama anggotanya menemui obor-obor itu terdampar di Pantai Pulau Kekabu semalam, ketika sedang menjalani Latihan Penyelamat Pantai.

“Kami diberitahu pelancong Australia yang bersantai di pantai itu mengenai kehadiran obor-obor berkenaan dan 11 bangkai terdampar sepanjang pantai.

“Selain itu, 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air. Kami segera memaklumkan penduduk setempat dan pengunjung pantai untuk tidak mandi di pantai berkenaan,” katanya.

Mohd Zabri berkata, pihaknya membawa bangkai obor-obor itu ke Pusat Oceanagrafi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk siasatan lanjut.

“Kita bimbang kerana fizikal obor-obor itu yang cantik dan seakan plastik akan menarik minat orang menyentuhnya, sedangkan sengatannya beracun.

“Untuk itu, ibu bapa diharap dapat mengawasi anak mereka sekiranya ke pantai dan lebih berhati-hati,” katanya yang difahamkan obor-obor sama turut ditemui di Pantai Batu Buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 4:32 PM