ROY (kanan) menceritakan pengalaman selama 26 tahun terjebak dengan dadah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ROY (kanan) menceritakan pengalaman selama 26 tahun terjebak dengan dadah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


“PENJARA dah macam rumah kedua saya, lapan kali saya keluar masuk jel akibat terjerumus dengan dadah,” kata bekas penagih dadah dikenali sebagai Roy, 45.

Dia yang sudah dua tahun bebas daripada ‘najis’ itu mengakui terbabit dengan penagihan dadah selama 26 tahun pada usia masih muda.

Menurutnya, dia dimasukkan ke penjara gara-gara mengedar dadah di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian demi mendapatkan wang untuk melepaskan gian sendiri.

“Tak cukup dengan mengambil dadah untuk diri sendiri, saya tanpa berfikir panjang menjadi pengedar dengan pendapatan lumayan. Ketika itu, fikiran saya hanya demi mendapatkan dadah, malah tirai besi tidak sesekali menakutkan saya.

“Hidup saya seperti tiada arah dan ia turut memberi impak keretakan rumah tangga sebanyak dua kali. Jujur saya cakap, dadah boleh merubah seseorang menjadi kejam tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain.

“Pernah beberapa kali saya cuba untuk berubah namun hasrat itu gagal akibat desakan kawan-kawan selain tiada hati yang kuat untuk betul-betul bertaubat,” katanya ketika ditemui di Rumah Lindungan Kasih, Kampung Kebakat, Tumpat.

Rumah Lindungan Kasih menjadi penempatan untuk membantu penagih dadah yang mahu berubah selain menyediakan khidmat kaunseling, didikan agama serta pelbagai kemahiran bagi membantu bekas penagih membina kehidupan lebih baik.

Roy mengakui, pernah mencuba hampir kesemua jenis dadah sepanjang dia menjadi penagih antaranya seperti methamphetamine, heroin, morfin dan syabu.

Apabila ditanya tentang gambaran sebenar saat dia di bawah pengaruh dadah, Roy berkata, perasaannya tidak dapat digambarkan seolah-olah berada di dalam dunia sendiri dengan satu perasaan paling senang.

“Bagaimanapun, ia hanyalah sementara, apabila habis dosnya saya terpaksa menanggung rasa sakit yang amat dan rasa terseksa akibat ketagih selain merosakkan hubungan kekeluargaan.

“Sepanjang dua tahun saya tidak menyentuh ‘najis’ dadah ini saya dapat merasakan ketenangan sebenar dan melihat semula segala benda keji pernah dilakukan ketika menjadi penagih.

“Nasihat saya kepada anak muda lain untuk jangan sesekali mendekati dadah, kerana kesannya tidak tertanggung. Anda bukan sahaja merosakkan diri sendiri, malah segala-galanya,” katanya.

Roy berkata, persekitaran baik serta sokongan kuat keluarga dalam proses pemulihan amat penting bagi memastikan seseorang penagih tidak mengulangi kesilapan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:41 PM