POLIS melakukan ujian pernafasan mengesan kandungan alkohol ke atas pemandu berusia 36 tahun. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
POLIS melakukan ujian pernafasan mengesan kandungan alkohol ke atas pemandu berusia 36 tahun. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN seorang lelaki sengaja melengahkan ujian pernafasan hampir sejam membongkar kandungan alkohol dalam badannya yang melebihi had dibenarkan untuk memandu.

Dia yang berusia 36 tahun sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya sempena Ops Mabuk di Jalan Putra, Mergong, 1.20 pagi hari ini.

Lelaki yang memandu Perodua Axia itu dilihat beberapa kali meniup alat Screening Device II (SDII) secara perlahan dan terlalu cepat, menyebabkan bacaan gagal direkodkan.

Dia kemudian disahkan memandu di bawah pengaruh alkohol selepas bacaan mencecah 267MG/100 mililiter (ml) dan dibawa ke balai untuk menjalani ujian kedua menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) II.

Keputusan ujian kedua menunjukkan bacaan 151MG/100ml dan melebihi paras dibenarkan untuk memandu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, selain lelaki itu, pihaknya turut menahan lelaki Myanmar berusia 25 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Katanya, kedua-duanya ditahan reman selama dua hari mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dituduh di mahkamah, esok.

“Dalam operasi itu, sebanyak 93 kenderaan diperiksa dan 37 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya, tiada lesen memandu (11), mengubahsuai kenderaan (3), nombor pendaftaran (9), cukai tamat tempoh (2), tiada insurans (1), tidak mempamer P (3), tiada cermin sisi (1), lampu brek ketiga (7) dan garisan berkembar (1),” katanya.

Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menahan lima lelaki kerana positif dadah.

Mohd Rozi berkata, operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang pemandu mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 11:09 AM