Kangar: Berbekalkan pedang samurai dan parang, Geng Edi Samurai yang aktif melakukan jenayah samun bersenjata menjadi igauan kepada masyarakat di negeri itu dan Kedah apabila anggotanya dipercayai tidak teragak-agak mencederakan mangsa mereka.

Menggunakan modus operandi melakukan jenayah di awal pagi dan menyasarkan taman perumahan tertentu untuk disamun, kumpulan itu turut memakai topeng muka bagi mengelak dicam mangsanya.

Bagaimanapun, jejak jenayah mereka berakhir apabila tumpas selepas dua anggotanya ditahan dalam operasi sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, suspek lelaki berusia 21 dan 26 tahun ditangkap di rumah mereka di Kodiang, Kedah susulan laporan polis terhadap kes samun bersenjata di sebuah rumah di Kampung Changkat Kabu, Jelempuk, Arau, pagi Aidiladha, 24 September lalu.

“Dalam kejadian jam 6.30 pagi, seorang guru berusia 49 tahun dan isterinya disamun suspek bersenjatakan pedang samurai dan parang.

“Sebelum itu, mereka dipercayai melakukan tinjauan lalu memecah masuk ke dalam rumah dan mencederakan mangsa menyebabkan guru terbabit cedera pada jari hantu tangan kanannya selepas terkena pedang diacukan suspek,” katanya kepada pemberita di IPK Perlis, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek berusia 26 tahun mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan, penyalahgunaan dadah dan samun berkawan dengan senjata, manakala rakannya yang berniaga nasi lemak pula mempunyai enam rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah dan samun berkawan dengan senjata.

Katanya, saringan ujian air kencing pada kedua-dua suspek mengesahkan mereka di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine.

“Pihak kami turut merampas barang dipercayai disamun daripada mangsa seperti cincin dan loket emas serta telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM2,000,” katanya.

Beberapa senjata dan peralatan digunakan untuk merompak seperti pedang samurai, parang, pisau dan penukul besi kuku kambing turut dirampas.

“Kami turut merampas kereta Proton Wira berwarna kuning milik bapa kepada seorang suspek dipercayai digunakan untuk kegiatan samun kumpulan ini,” katanya.

Katanya, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan samun hampir setahun lalu membabitkan tiga anggota, namun mereka bergerak secara berpasangan selepas seorang daripada anggota mereka ditangkap polis, beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:31 AM