Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Polis menahan 14 individu termasuk dua wanita serta seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan kegiatan curi motosikal dalam 11 serbuan berasingan di daerah ini, Hulu Langat dan Rawang pada 1 Februari hingga 18 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, semua suspek yang ditahan terdiri daripada individu yang mencuri motosikal, teman wanita suspek serta pembeli berusia antara 16 hingga 41 tahun.

"Kami turut merampas lima motosikal, lima rangka motosikal, satu bongkah enjin motosikal serta sepasang rim motosikal yang bernilai RM30,000.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami mengenal pasti sebanyak 15 kes kecurian motosikal didalangi geng ini yang dikenali sebagai Geng Azahar, 12 kes berjaya diselesaikan setakat ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, geng itu dipercayai aktif sejak akhir tahun lalu dengan mensasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda.

SHAFA’ATON menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan Ops Pintu Kumpulan Along kembar dobi dan Ops Lejang Kumpulan Azahar pada sidang media di IPD Sungai Buloh. FOTO FATHIL ASRI.
SHAFA’ATON menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan Ops Pintu Kumpulan Along kembar dobi dan Ops Lejang Kumpulan Azahar pada sidang media di IPD Sungai Buloh. FOTO FATHIL ASRI.

"Ahli geng ini dipercayai akan meleraikan motosikal yang dicuri sebelum memotong rangka motosikal dan membuangnya ke dalam tasik dan sungai berhampiran di daerah ini.

"Komponen motosikal curi itu akan digunakan sendiri atau dijual kepada rakan yang berminat dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

"Suspek turut menjual motosikal curi berkenaan kepada warga asing dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis atau model motosikal dan keuntungan akan dibahagikan kepada semua ahli," katanya.

Katanya, semakan mendapati 10 daripada suspek mempunyai antara dua hingga lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati sembilan daripada 14 suspek terbabit positif dadah.

"Semua suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 2:32 PM