Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad (tiga dari kiri) menunjukkan pedang samurai yang digunakan dalam kes rompak di pagi Aidiladha, sambil disaksikan  Shafie Ismail (empat dari kiri) ketika sidang media di IPK Perlis, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad (tiga dari kiri) menunjukkan pedang samurai yang digunakan dalam kes rompak di pagi Aidiladha, sambil disaksikan Shafie Ismail (empat dari kiri) ketika sidang media di IPK Perlis, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Polis menumpaskan kumpulan samun Geng Edi Samurai yang aktif melakukan samun bersenjata di sekitar Perlis dan Kedah dengan tertangkapnya dua lelaki di rumah di Kodiang, Kedah pada Selasa lalu.

Suspek yang berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan susulan satu kes yang samun yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan itu di rumah di Kampung Changkat Kabu, Jelempuk, Arau pada pagi Aidiladha lalu.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, hasil siasatan polis mendapati kedua-dua suspek itu turut terbabit dalam dua kes samun di Kedah pada Julai lalu.

“Kumpulan itu akan menyamun mangsa pada awal pagi bersenjatakan pedang samurai dan parang dan kita dapati juga kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian air kencing mereka positif dadah,”katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, kereta Proton Wira berwarna Kuning yang digunakan oleh suspek turut dirampas dan pemeriksaan selanjutnya mendapati ianya milik bapa kepada seorang suspek itu.

Suspek kini direman hingga 6 Oktober depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dan bersenjata serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima dan menyimpan harta curi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 3:31 PM