Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun membabitkan kerugian RM160,000 selepas penahanan enam lelaki dikenali sebagai Geng Mat Nen.

Ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Mat Nen berjaya ditahan susulan kejadian Koperal K Mahadir Elis, 38, yang meninggal dunia akibat dilanggar sebuah motosikal ketika mengejarnya di Padang Temusu, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dengan tertangkapnya suspek yang dikenali sebagai Mat Nen, 24, di Tikam Batu pada 10 Januari lalu, membolehkan polis menyelesaikan kes jenayah yang dilakukan kumpulan terbabit.

Beliau berkata, antara kes dilakukan mereka termasuklah pecah rumah, pecah kedai mencuci kereta serta terbabit mencuri kenderaan di Kuala Muda, Kubang Pasu dan Seberang Perai Utara.

"Tiga suspek ditahan pada 8 Januari lalu jam 3.45 pagi oleh pasukan Task Force Cegah Jenayah IPD Kuala Muda susulan kes pecah rumah yang dilaporkan di Kampung Telok, di sini pada 24 Disember lalu

"Mat Nen yang dipercayai perancang kegiatan jenayah pula ditahan pada jam 6.30 petang 10 Januari lalu selepas diburu polis susulan anggota polis yang maut pada pagi Jumaat lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Adzli berkata, Geng Mat Nen ini dipercayai bergiat aktif melakukan kegiatan itu bermula Januari tahun lalu hingga Januari 2021.

Katanya, kumpulan itu sanggup mencuri apa saja yang boleh mendapatkan wang.

"Mereka berusia 24 hingga 52 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar kawasan Sungai Petani dan Pulau Pinang.

"Pihak kami berjaya merampas semula beberapa barangan hasil kegiatan jenayah yang dilakukan mereka termasuklah sebuah unit kompressor, vakum, tong kelabu, mesin pam air, sebuah basikal dan Honda Accord disyaki dicuri," katanya.

Adzli berkata, modus operandi yang digunakan adalah mensasarkan kedai yang ditutup pada waktu malam yang mana barangan curi dijual dengan harga murah kepada pembeli tidak dikenali.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati mereka mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian saringan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methampetamine dan direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Jumaat lalu, K Mahadir meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Padang Temusu, sewaktu mengejar suspek yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah, curi kenderaan.

ADZLI (kanan) menunjukkan barangan curi yang diperoleh semula selepas tertangkapnya Geng Mat Nen. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ADZLI (kanan) menunjukkan barangan curi yang diperoleh semula selepas tertangkapnya Geng Mat Nen. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 1:54 PM