MAZLAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
MAZLAN (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI berasal dari Wuhan, China antara lima individu yang menjadi 'chef' bagi memproses dadah berkualiti tinggi sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, kegiatan semua 'chef' terbabit terbongkar apabila seorang daripada ahli sindiket yang ditangkap pada 12 Februari lalu membongkar rahsia mereka.

Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu sebuah kondominium mewah di Velocity, Cheras, 17 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia susulan serbuan ke atas makmal dadah di kondominium mewah di Jalan Yaakob Latif, Cheras pada 12 Februari lalu, yang membawa kepada rampasan dadah bernilai lebih RM2 juta.

“Suspek berusia antara 26 hingga 33 tahun ditahan dalam dua siri serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah.

"Hasil daripada siasatan dan maklumat ke atas salah seorang yang ditahan dalam operasi pertama di Jalan Yaakob Latif, membawa kepada pembongkaran satu lagi makmal pemprosesan dadah.

“Dalam serbuan 7.10 malam itu, polis merampas ketamin 527 gram, cecair ketamin 3,000 milimeter, pil ecstasy dan pil Eramin 5 selain peralatan pemprosesan dadah dan bahan kimia yang digunakan untuk pemprosesan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mazlan berkata, hasil siasatan serbuan kedua itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki tempatan di hadapan kondominium yang sama pada 9.50 malam.

"Pemeriksaan ke atas lelaki terbabit membawa kepada penemuan serbuk ecstasy dan ketamin.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati semua warga asing dari China dan Taiwan ini berperanan sebagai tukang masak dadah sambil dikawal oleh seorang suspek rakyat tempatan," katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 26,774 orang.

"Semua suspek direman sehingga 24 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:37 PM