ANTARA dadah yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan. FOTO ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan. FOTO ihsan PDRM
BERNAMA

POLIS Kuala Lumpur menumpaskan dua sindiket penyeludupan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM1 juta, dalam operasi dilakukan di sekitar ibu negara pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki dan empat wanita berusia 28 hingga 54 tahun itu, ditahan dalam dua serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Mengulas serbuan pertama beliau berkata, tiga wanita dan seorang lelaki ditahan di kondominium di Jalan Pudu Ulu di Kuala Lumpur, 8.15 malam, Selasa.

"Pemeriksaan di kondominium itu membawa kepada penemuan syabu berat anggaran 502 gram, ketamin (300 gram), pil ekstasi (670 biji) serta wang tunai RM3,000.

"Suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Mazlan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam serbuan kedua di kondominium di Taman Tenaga, di Kuala Lumpur, jam 12.40 tengah malam, Rabu.

"Polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ketamin (2,910 gram), pil erimin 5 (400 biji) dan pil ekstasi (2,485 biji).

"Turut disita dua kereta jenis Nissan X-Trail serta wang tunai RM20,240. Suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah berkait dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:46 PM