MUNUSAMY menunjukkan dadah yang  dirampas.
MUNUSAMY menunjukkan dadah yang dirampas.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Tanda tanya kehidupan mewah seorang penganggur berusia 39 tahun akhirnya terjawab apabila dia ditahan di sekitar kawasan Metro Prima, Kepong, di sini bersama beberapa jenis dadah dipercayai untuk dijual di sekitar ibu negara.

Lelaki itu yang menyewa kondominium mewah dan memiliki kereta Toyota Wish ditahan pada jam 3 petang, 2 Januari lalu sebelum polis menyerbu kediamannya yang turut dijadikan tempat menyimpan dadah dianggarkan bernilai RM95,000.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui 50 pil eramin, 520 pil ecstasy dan satu peket plastik dadah jenis syabu.

Menurutnya, soal siasat yang dijalankan membawa polis ke kediaman mewah suspek di Kepong dan polis merampas beberapa jenis dadah yang diletakkan di dalam kotak di bilik suspek.

“Polis merampas 1,600 pil eramin 5, 834 pil ecstasy, 63 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah, 12 peket plastik lutsinar berisi sebuk ketamin dan satu peket plastik berisi ganja,” katanya pada sidang media di IPD Sentul, semalam.

Munusamy berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang bergerak sebagai pengedar dadah secara bersendirian mula aktif sejak sebulan lalu.

Menurutnya, suspek turut mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan ketika ditahan, suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:59 AM