MUNUSAMY (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.
MUNUSAMY (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang penganggur berusia 39 tahun ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah di sekitar ibu negara membabitkan nilai rampasan RM95,000.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek lelaki itu ditahan pada di satu kawasan di Metro Prima, di sini, pada 3 petang, Jumaat lalu dan pihaknya menemui 50 biji pil eramin 5, 20 biji pil ecstasy dan satu paket syabu yang dimiliki suspek.

"Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di kediaman mewah suspek di Kepong, di sini, dan polis berjaya menemui 1,600 biji pil eramin 5, 834 biji pil ecstasy dan 63 plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai syabu.

"Polis turut merampas 12 plastik lutsinar berisi dadah ketamin dan satu paket plastik dipercayai ganja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, sebentar tadi.

Munusamy berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 12:00 PM