Nor Amalina Alias


DUA bot, 600 kilogram (kg) ikan campur dan baja serta 180 kg sotong kering bernilai RM1.5 juta dirampas dalam Ops Naga Barat, di perairan Kelantan, Selasa lalu.

Turut ditahan 16 nelayan asing Vietnam.

Operasi itu dijalankan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengesan dua bot itu menangkap ikan di perairan negara sejak Isnin lalu.

Susulan itu, APMM Kelantan melakukan rondaan dengan Kapal Maritim (KM) Jujur pada 6.57 petang diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Maritim Zaid Abu Bakar.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, hasil rondaan, pihaknya menahan bot pertama pada 12.15 tengah hari, manakala bot kedua sembilan minit kemudian, masing-masing di kedudukan 90.1 dan 86.2 batu nautika dari muara Tok Bali.

“Disebabkan kedudukan berhampiran sempadan Vietnam, mereka cuba melarikan diri dan kita terpaksa mengejar selama enam jam sebelum bot pertama mengalah dan menyerah diri.

“Sementara, bot kedua ditahan selepas mengalami kerosakan enjin dan ditunda dengan KM Jujur,” katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Kota Bharu, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata, KM Jujur berdepan kesukaran untuk membawa balik bot tahanan kerana perlu menunda bot kedua yang kerosakan enjin dipercayai sengaja dirosakkan.

NELAYAN warga Vietnam yang ditahan. FOTO Nor Amalina Alias.
NELAYAN warga Vietnam yang ditahan. FOTO Nor Amalina Alias.

“Keadaan bertambah sukar kerana kita berdepan cuaca kategori amaran ketiga dengan ombak setinggi 4.8 meter, angin berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam serta hujan lebat yang mengehadkan penglihatan sehingga 10 meter.

“Bagaimanapun kita berjaya membawa pulang kedua-dua bot tahanan di Jeti Maritim, di sini (Tok Bali) pada 4 petang semalam (Rabu),” katanya.

Beliau berkata, nelayan asing bot kedua turut bertindak agresif dan membuat pelbagai gerakan.

Namun, Muhd Nur Syam berkata, hasil kecekapan navigasi dan pengalaman, pihaknya berjaya menghalang kedua bot daripada lolos begitu saja.

Katanya, situasi enjin rosak pula adalah taktik yang disengajakan nelayan asing bagi menyukarkan pihaknya membawa pulang bot tahanan.

“Biasanya mereka sengaja membocor atau merosakkan enjin bot untuk melambatkan proses menunda.

“Biasanya mereka sengaja membocor atau merosakkan enjin bot untuk melambatkan proses menunda.

“Operasi ini amat mencabar kerana mengambil masa 48 jam untuk menunda bot kedua yang ditahan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua awak-awak dan tekong dua bot yang berusia antara 18 hingga 52 tahun ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 5:34 PM