NELAYAN yang ditahan. FOTO ihsan APMM
NELAYAN yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Siti Nor Hidayatidayu Razali


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil masa lebih satu jam mengejar bot nelayan Vietnam sejauh lima batu nautika sebelum menahannya dalam jarak 228 kilometer dari Muara Tok Bali di sini, kelmarin.

Bot berkenaan ditahan menerusi Op Naga Barat oleh Kapal Maritim Jujur (KM Jujur), jam 10.16 pagi bersama 11 nelayan termasuk seorang tekong dan 10 awak-awak berusia 22 hingga 45 tahun.

Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas hasil tangkapan ikan sebanyak 100 kilogram (kg) dan ikan baja 300kg, peralatan menangkap ikan serta bot bernilai RM600,000.

BOT nelayan Vietnam berkenaan. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan Vietnam berkenaan. FOTO ihsan APMM

Katanya, operasi disertai 24 anggota termasuk pegawai diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Maritim Tan Ah Bik mengesan bot nelayan asing menangkap ikan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia, jam 8.05 pagi.

“KM Jujur cuba menahan bot nelayan berkenaan yang melarikan diri sebelum dipintas beberapa kali dan mereka bertindak agresif apabila membuat pusingan di laut sejauh lima batu nautika.

“Penahanan juga sukar kerana bot mereka menggunakan teknologi apabila boleh membuat pusingan dalam jarak dekat sedangkan bot kita membuat pusingan dalam jarak jauh.

“Keadaan laut bergelora dan cuaca hujan memberi cabaran kepada pegawai serta anggota bertugas,” katanya di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 5:30 AM