KEBAKARAN yang membabitkan tiga unit kedai papan kosong di Lorong Jawa Seremban, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN yang membabitkan tiga unit kedai papan kosong di Lorong Jawa Seremban, malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Amin Jalil


TIGA unit kedai kosong dipercayai lokasi aktiviti tidak sihat termasuk menghidu gam musnah dalam kebakaran di Lorong Jawa, Seremban, malam tadi.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 9.59 malam dan api dapat dipadamkan dalam tempoh 15 minit.

Beliau berkata, seramai 16 anggota BBP Seremban dan Seremban 2 serta 10 anggota polis dan empat kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membantu dalam operasi memadam kebakaran terbabit.

“Kebakaran membabitkan tiga unit kedai papan dua tingkat dengan kemusnahan 100 peratus.

“Kami berjaya menyelamatkan enam unit kedai lain yang berada bersebelahan. Ini adalah kejadian kebakaran ketiga di lokasi berkenaan sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai tidak membuang sampah di bangunan terbiar di kawasan itu kerana ia boleh menyebabkan kebakaran.

Difahamkan, premis terbabit sudah lama kosong dan sering dijadikan segelintir kumpulan individu untuk melakukan kegiatan tidak sihat termasuk menghidu gam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 12:40 PM