Mangsa maut digilis kereta api. FOTO Ihsan PDRM
Mangsa maut digilis kereta api. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


LELAKI maut digilis kereta api selepas dipercayai tidur di landasan di Kilometer 1.5 Beaufort - Tanjung Aru, berhampiran Chan Funiture, Beaufort hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati kereta api bertolak dari stesen Beaufort menuju ke stesen Tanjung Aru dengan kelajuan 35 kilometer/jam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu melihat satu objek melintang di landasan kereta api. Ketika itu pemandu menyangkakan objek itu adalah sampah kerana keadaan ketika itu gelap.

“Dalam jarak 20 meter pemandu jelas nampak objek itu adalah manusia lalu menggunakan brek kecemasan hingga menyebabkan kereta api terseret dan menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

“Mangsa tidak mempunyai dokumen dan siasatan mengesyaki mangsa penagih gam dan tidur di landasan itu kemungkinan dalam khayal akibat menghidu gam.

“Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:17 AM