SALAH satu kenderaan milik PDRM dirosakan oleh suspek selepas mengamuk akibat disyaki khayal gam. FOTO Ihsan Polis
SALAH satu kenderaan milik PDRM dirosakan oleh suspek selepas mengamuk akibat disyaki khayal gam. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Beaufort: Seorang lelaki yang berada dalam keadaan khayal kerana menghidu gam mengamuk dan menyerang kenderaan polis menggunakan parang di Kampung Kiambor, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 40 tahun tidak memberi kerjasama sambil di kiri dan kanan tangannya memegang parang dan pisau pemotong daging.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, pada jam 12.16 tengah malam, anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Kuala Penyu serta Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerima maklumat mengenai lelaki sedang mengamuk di kampung berkenaan.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis IPD Beaufort bersama anggota daripada pelbagai cawangan digerakkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba suspek terbabit keluar dari kawasan semak dan bertindak menyerang kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan parang dan terus melarikan diri.

"Bagaimanapun suspek berjaya diberkas dan ketika ditahan dia masih agresif sambil memegang parang dan pisau pemotong daging," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua kenderaan pasukan milik PDRM turut dirosakkan oleh suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, punca suspek terbabit mengamuk adalah kerana disyaki khayal dan seorang penagih gam.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 September untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 dan Seksyen 427 kanun yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 9:24 PM