Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Produk Simpan SSPN Plus yang dilancarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini, adalah landasan terbaik untuk masyarakat terus menabung bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Simpan SSPN Plus adalah kesinambungan produk SSPN-i Plus yang ditambah baik dan berwajah baharu dengan tawaran pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.

Menurutnya, Simpan SSPN Plus juga kompetitif dan unik kerana konsep simpanan pendidikan digabungkan bersama manfaat perlindungan takaful, sekali gus menjadikannya antara pelan simpanan pendidikan terbaik di pasaran.

"Produk ini turut menawarkan lebih banyak pilihan kepada pendeposit dengan kerjasama strategik bersama tiga syarikat pengendali takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad.

"Pelbagai keistimewaan dan manfaat dinikmati pendeposit antaranya perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, penyakit terminal sehingga RM200,000, manfaat penghantaran balik jenazah sehingga RM10,000, rawatan pesakit luar akibat kemalangan sehingga RM3,000 dan perlindungan sehingga umur pendeposit 69 tahun.

"Simpan SSPN Plus juga mengekalkan keistimewaan sedia ada seperti dividen kompetitif, pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, simpanan patuh syariah dan dijamin kerajaan.

"Bagi lebih 690,000 akaun SSPN-i Plus sedia ada juga akan menikmati manfaat yang lebih menarik bersama produk baharu Simpan SSPN Plus," katanya dalam Majlis Pelancaran Produk Simpan SSPN Plus secara maya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff.

Ahmad Dasuki berkata, pelancaran Simpan SSPN Plus tepat dan selari dengan Pelan Strategik PTPTN untuk menguruskan dana simpanan secara efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik.

Katanya, produk berkenaan juga landasan terbaik masyarakat untuk terus menabung untuk pendidikan tinggi disamping menikmati keistimewaan dan manfaat yang lebih menarik.

"Ibu bapa adalah tunjang utama dalam merealisasikan cita-cita anak-anak dan PTPTN terus membantu merealisasikan peluang kejayaan anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 11:49 AM