Gambar hiasan
Gambar hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN Johor bercadang mewajibkan semua murid tahun satu di negeri ini membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berhubung inisiatif itu bagi menggalakkan budaya menabung bermula dari usia yang muda.

“Saya difahamkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai geran diberi kerajaan pusat untuk murid tahun satu sebanyak RM50 seorang sebagai tambahan apabila mereka membuka akaun SSPN termasuk SSPN-i atau SSPN-i Plus.

“Negeri Johor akan jadi negeri yang pertama mengambil inisiatif mewajibkan ibu bapa mulai tahun depan untuk membuka akaun SSPN.

“Antara lain bila kita buat begini, yang pertama kerana kita mahu mendapatkan manfaat yang diberikan kerajaan itu selain keduanya, dapat membantu dari segi pembelajaran anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Pelancaran SSPN-i Plus Peringkat Negeri Johor di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Saifuddin Abdul Rahim dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Prof Madya Datuk Dr Toh Kian Kok.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, melalui pembentangan Bajet 2017, kerajaan menyediakan RM25 juta bagi pembukaan akaun SSPN kepada murid tahun satu yang membuat tabungan RM50 .

Katanya, ia inisiatif kerajaan untuk membudayakan amalan menabung bermula dari awal usia supaya keperluan pembelajaran di masa akan datang tidak bergantung kepada wang pinjaman, sebaliknya beralih kepada simpanan.

“Ia akan mengurangkan bebanan hutang kerana isu sekarang apabila graduan keluar universiti, mereka dibebani hutang. Jadi, untuk kurangkan, kita beri simpanan.

“Kita dapat lihat keprihatinan dan kesedaran rakyat menabung kini adalah tinggi dan tidak lagi bergantung kepada pinjaman kerana pada 2014, jumlah pinjaman sebanyak 207,477, tetapi berkurang kepada 195,373 pada 2015, malah terus berkurang kepada 177,372 pada 2016.

“Manakala, jumlah pengeluaran simpanan pula semakin meningkat daripada RM53.3 juta pada 2014 kepada RM90.9 juta pada 2015 dan RM141.2 juta pada tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:18 PM