KAPAL kargo yang ditahan  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan di kedudukan lebih kurang 4 batu nautika Barat Daya Pulau Upeh. FOTO IHSAN APMM
KAPAL kargo yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan di kedudukan lebih kurang 4 batu nautika Barat Daya Pulau Upeh. FOTO IHSAN APMM
Nazri Abu Bakar


SEBUAH kapal kargo berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan di kedudukan kira-kira 4 batu nautika Barat Daya Pulau Upeh, Melaka, semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan dilakukan sewaktu pihaknya melakukan rondaan rutin operasi harian dan mendapati sebuah kapal kargo sedang berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka.

“Kapal XIE RIONG 12 ditahan pada 1.15 pagi selepas didapati gagal menunjukkan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Berikutan itu dua kru kapal membabitkan Master dan Third Engineer diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya

Beliau berkata, kapal berkenaan berdaftar di Keelung, Taiwan mempunyai 20 kru warganegara Taiwan dan Indonesia berusia antara 26 hingga 64 tahun.

Menurutnya, siasatan lanjut kes terbabit sedang dilakukan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kami akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 5:22 PM