FOTO Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
FOTO Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
BERNAMA

Seremban: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak disyaki diesel tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi, Port Dickson, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, bot ronda Maritim Malaysia yang melihat dua kapal merapat antara satu sama lain disyaki melakukan aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan di kedudukan satu batu nautika tenggara pulau itu.

"Pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan sedang memindahkan kargo minyak disyaki diesel kepada sebuah kapal kargo tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti terbabit.

"Kapal kargo sepanjang 31 meter yang berdaftar di Port Dickson itu dikendalikan empat kru lelaki warga tempatan termasuk nakhoda, manakala kapal tangki pula didaftarkan di Zanzibar, Tanzania dikendalikan lima kru lelaki termasuk nakhoda warga Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iskandar berkata, susulan itu, kedua-dua kapal dan kru ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan supaya komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan pihak berwajib.

"Sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 12:41 PM