GAMBAR Hiasan. FOTO Hassan Omar
GAMBAR Hiasan. FOTO Hassan Omar
Mohd Khidir Zakaria


DUA bot digunakan untuk menarik pelampung rekreasi kembung dikenali sebagai 'Banana Boat' atau Bot Pisang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka / Negeri Sembilan di perairan Port Dickson semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kedua- dua bot didapati beroperasi tanpa lesen selepas diperiksa APMM ketika sedang membawa penumpang.

Pengarah APMM Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah berkata, kedua- dua bot terbabit ditahan pihaknya ketika melakukan pemantauan dan pemeriksaan keselamatan di perairan Port Dickson.

"Mereka ditahan di kedudukan lebih kurang 0.5 Batu Nautika Barat Daya Teluk Kemang, Port Dickson.

"Selain dua bot, APMM turut menahan dua pengemudi warga tempatan berumur 20 dan 34 tahun ketika sedang membawa penumpang bot pisang di perairan Teluk Kemang," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

"Dua pengemudi bot kemudiannya ditahan dan kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka / Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 3:12 PM