PERAHU yang digunakan mangsa ditemui di tebing sungai. FOTO MElvin Joni
PERAHU yang digunakan mangsa ditemui di tebing sungai. FOTO MElvin Joni
Melvin Joni

SEORANG pemandu lori hilang ketika memancing di sungai Kampung Selang dekat Padawan, hari ini.

Norizam Matsukor, 27, dari Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Matang dilaporkan hilang kira-kira jam 12 tengah hari, selepas turun memancing berseorangan sekitar jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mangsa berkemungkinan jatuh ke dalam sungai kerana perahunya ditemui di tebing sungai itu.

“Menurut adik mangsa, ini adalah kali kedua mangsa turun memancing berseorangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua penduduk kampung yang memancing di sungai berkenaan melihat perahu digunakan mangsa tersadai di tebing sungai.

Namun, katanya apabila mereka menghampiri perahu berkenaan, mangsa tidak berada di dalamnya.

Menurutnya sewaktu kejadian, air sungai dalam keadaan surut dan deras.

Justeru, Aidil berkata penduduk kampung menjalankan usaha mencari mangsa di sekitar sungai namun tidak berhasil.

Katanya, usaha mengesan mangsa kini sedang dilakukan oleh polis, bomba bersama penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:24 PM