Melvin Joni

SERAMAI 11 pelajar sekolah menengan di Padawan yang disyaki membuli tiga pelajar Tingkatan Dua, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, semua mereka dibebaskan selepas selesai dirakam percakapan di Balai Polis Kota Sentosa.

“Mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Ibu bapa mereka juga dipanggil semasa soal siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Aidil, semua pelajar terbabit ditangkap di sekolah kira-kira 11 pagi semalam.

Katanya, empat daripada mereka adalah pelajar Tingkatan 5, seorang pelajar Tingkatan 4 dan enam pelajar Tingkatan 3.

Tambahnya, empat telefon bimbit turut dirampas daripada empat pelajar berkenaan.

“Sepuluh daripada mereka mengaku ada memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki, kecuali seorang yang berperanan hanya melihat kejadian berlaku,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, pelajar senior berkenaan dipercayai membuli tiga pelajar Tingkatan Dua di asrama.

Semua mangsa lebam di badan akibat dipukul secara bergilir-gilir selama dua jam, dari 1 hingga 3 pagi sebelum mereka dibenarkan balik tidur.

Seorang daripada mangsa kemudian mengadu kepada bapanya, yang segera melaporkan kepada polis sebelum disusuli dengan laporan oleh keluarga dua lagi mangsa.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan kesemua mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 2 jam dibelasah 'gengster asrama'
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 12:38 PM