Shasha Lyna menunjukkan laporan polis dibuatnya bagi pihak Latheefa di IPD Putrajaya. FOTO Ahmad Irham
Shasha Lyna menunjukkan laporan polis dibuatnya bagi pihak Latheefa di IPD Putrajaya. FOTO Ahmad Irham
Atiqah Sulaiman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang didakwa berkomplot menyebarkan fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Laporan dibuat oleh Pegawai Khas Undang-Undang SPRM, Shasha Lyna Abdul Latif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Shasha Lyna ketika ditemui media berkata, pihaknya juga sudah menyerahkan nama serta identiti beberapa individu, termasuk peguam kerana menyebarkan tohmahan jahat terhadap SPRM dan Latheefa.

Katanya, tohmahan itu wujud selepas Latheefa membuat sidang media yang mendedahkan rakaman perbualan beberapa individu pada 8 Januari lalu.

"Hari ini saya sudah membuat laporan dan diambil keterangan oleh pihak polis berhubung beberapa individu yang berkomplot menyebarkan tohmahan peribadi, khusus untuk menjatuhkan maruah dan integriti Latheefa.

"Saya juga sudah menyerahkan bukti kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan mengenai perkara ini.

"Mereka (pihak berkenaan) menyebarkan tohmahan itu melalui media sosial dan apa yang dilakukan dilihat lebih menyasarkan untuk menjatuhkan intergriti, maruah dan imej Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.

Terdahulu, Shasha Lyna tiba di IPD Putrajaya pada jam 9.30 pagi dan diambil keterangan hampir satu jam.

Beliau dilihat keluar sambil ditemani Pegawai Khas Media, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Roshazuan Roslan pada jam 12.45 tengah hari.

Latheefa semalam mendedahkan wujud komplot jenayah bagi memalsu dan mengedar bahan bertujuan mencalar reputasi peribadinya.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, malah agensi berkenaan menaruh keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.

Berita berkaitan

Komplot calar reputasi, Latheefa tak tergugat

Latheefa Koya beri keterangan Khamis ini

Latheefa Koya dipanggil bantu siasatan

Dedah demi kepentingan awam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 3:56 PM